Psikologi Trader — Fikiran Anda Sendiri Musuh Paling Besar
Anda boleh memiliki strategi terbaik di dunia. Anda boleh memahami setiap bab dalam program ini dari awal hingga akhir. Tetapi apabila anda duduk di depan carta dan melihat akaun mula bergerak, semua yang anda pelajari boleh hilang dalam sekelip mata kalau fikiran anda tidak terlatih.
Ini bukan dibesar-besarkan. Inilah sebab sebenar kenapa ramai trader yang "tahu" strategi yang betul pun masih rugi.
Lima Kesilapan Yang Berulang-ulang
Kajian tentang tingkah laku trader runcit kerap menemui pola yang sama. Lima kesilapan ini muncul pada hampir setiap trader yang rugi secara kronik.
Tiada trading plan. Mereka masuk trade berdasarkan "rasa". Rasa macam harga nak naik. Rasa macam setup ini nampak cantik. Trading plan akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Bab 14, tetapi prinsipnya mudah: kalau anda tiada peraturan bertulis tentang bila hendak masuk, bila hendak keluar, berapa lot, dan berapa SL, anda tiada sistem. Anda hanya berspekulasi.
Tewas kepada emosi. Inilah yang paling biasa dan paling memusnahkan. Kita akan membincangkannya dengan lebih terperinci dalam bab ini.
Overtrade. Trade terlalu kerap. Setiap kali nampak pergerakan, terus mahu masuk. Ini bukan kerana banyak peluang, tetapi kerana bosan, atau kerana rasa perlu "buat sesuatu" untuk mencapai sasaran. Bukan semua pergerakan itu peluang trade. Trader yang baik tahu bila masa untuk duduk diam.
Kurang sabar. Masuk terlalu awal sebelum setup terbentuk sepenuhnya, atau menutup trade terlalu awal sebelum sampai TP. Sabar bukan sahaja ketika menunggu setup, tetapi juga ketika membiarkan trade berjalan sehingga ke sasarannya.
Risiko terlalu besar dalam satu trade. Ini kembali kepada pengurusan risiko yang dibincangkan dalam Bab 9. Apabila risiko setiap trade terlalu besar, satu dua kerugian sahaja sudah cukup untuk meletakkan akaun dalam keadaan kritikal, dan tekanan emosi itu pula memburukkan lagi keputusan seterusnya.
Takut, Tamak dan Dendam
Tiga emosi inilah yang paling kerap mengganggu keputusan trading.
Takut berlaku dalam dua bentuk. Takut masuk, walaupun setup sudah cukup baik, kerana tidak mahu rugi. Atau takut keluar, walaupun harga sudah bergerak menentang anda dengan ketara, kerana tidak mahu "menerima" kerugian. Kedua-duanya berbahaya. Yang pertama membuatkan anda terlepas peluang. Yang kedua membuatkan kerugian kecil menjadi besar.
Tamak pula apabila trade sudah dalam untung yang baik, sudah hampir TP, tetapi anda mengalihkan TP lebih jauh lagi kerana rasa harga boleh pergi lebih tinggi. Kadangkala ia berjaya. Lebih kerap, harga berpatah balik dan untung yang hampir anda capai itu lenyap, atau lebih teruk, bertukar menjadi kerugian.
Revenge trading (trade dendam) ialah yang paling berbahaya. Selepas rugi, timbul rasa tidak puas hati dan mahu "membalas" pasaran dengan masuk trade baharu menggunakan lot yang lebih besar untuk memulihkan kerugian dengan cepat. Pasaran tidak peduli yang anda baru rugi. Tetapi fikiran anda yang sedang dikuasai emosi tidak akan membuat keputusan analisis yang baik dalam keadaan itu.
Bina Sistem, Bukan Bergantung Pada Motivasi
Ramai trader cuba menyelesaikan masalah psikologi dengan motivasi. Membaca buku, mendengar podcast, menampal kata-kata semangat di dinding. Itu tidak salah, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang.
Disiplin yang sebenar datang daripada sistem, bukan daripada mood.
Sistem bermaksud anda mempunyai peraturan bertulis yang anda patuhi walaupun anda tidak rasa hendak mematuhinya. Jenis setup yang anda trade dan yang anda tidak trade. Bilangan maksimum trade sehari. Had kerugian maksimum sehari sebelum anda berhenti trade untuk hari itu (daily loss limit). Inilah perlindungan diri daripada diri sendiri ketika fikiran tidak jernih.
Trading journal membantu dalam hal ini. Apabila anda merekodkan setiap trade, termasuk kenapa anda masuk, emosi apa yang anda rasa ketika itu, dan apa hasilnya, anda akan mula nampak corak dalam tingkah laku anda sendiri. Ini bukan untuk menghukum diri, tetapi untuk belajar.
Cara Menguruskan Drawdown
Drawdown ialah tempoh apabila akaun anda berada dalam kerugian daripada nilai tertingginya. Semua trader, tanpa pengecualian, mengalami drawdown. Ini bukan tanda anda gagal. Ini realiti trading.
Apabila drawdown berlaku, perkara yang biasanya terlintas ialah menaikkan lot untuk memulihkan kerugian dengan cepat. Dari satu sudut, ini reaksi emosi yang seolah-olah logik, tetapi ia sebenarnya bertentangan sepenuhnya dengan apa yang sepatutnya dilakukan.
Ketika dalam drawdown, kurangkan saiz lot, bukan menaikkannya. Bunyinya tidak logik, tetapi ada asasnya. Apabila anda berada dalam keadaan psikologi yang kurang baik, analisis anda lebih cenderung terjejas. Lot yang lebih kecil bermakna kerugian seterusnya lebih kecil, dan anda ada lebih banyak masa untuk "reset" sebelum mengambil trade dengan saiz biasa semula.
RINGKASAN BAB
Uji kefahaman anda
Asas pengurusan risiko, psikologi dan disiplin trading — dalam Bahasa Melayu, baca dalam 15 minit. Mula bina disiplin anda hari ini.
Muat Turun Percuma →